JOHOR BAHRU - UMNO Johor menghormati titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu kestabilan politik negara dikembalikan dan menghentikan desas-desus pertukaran kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, titah tersebut perlu dipandang serius oleh setiap 222 ahli Parlimen di seluruh negara tidak mengira parti politik.
"Kita akur dan menghormati titah Sultan Ibrahim pada 3 Mei lalu. Kestabilan politik negara perlu jadi keutamaan ketika ini," katanya pada Majlis Mesra Ria Aidilfitri, Veteran UMNO di Bangunan UMNO Johor di sini pada Sabtu.
Sebelum itu, Sultan Ibrahim menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.
Baginda menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.
"Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
"Namun sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina," titah baginda.
Sebelum ini, tersebar khabar angin terdapat gerakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang merupakan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan (Warisan).