KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis menggempur Pasar Borong Selayang dalam Ops Cantas, semalam dan menahan 13 individu.
Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama D9 Bukit Aman dijalankan jam 7.15 petang kerana ada dakwaan terdapatnya kegiatan pemerasan di pasar borong terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun dipercayai penjaga tapak gerai haram.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek melakukan pemerasan terhadap peniaga.
"Dalam operasi ini juga, polis turut menahan 12 peniaga membabitkan enam warga tempatan serta enam warga asing.
"Semakan mendapati, empat warga Myanmar ini merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala dua warga Bangladesh menyalahgunakan pas lawatan sosial dan permit kerja," katanya, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat lebih lanjut sama ada suspek penjaga tapak gerai haram ini terlibat dalam kumpulan gangster.
Katanya, kesemua tangkapan berusia lingkungan 17 hingga 57 tahun ini diserah ke Lokap Berpusat Jinjang, Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
"Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.