'Tujuh tahun tunggu, rumah tak siap-siap'

Iklan
Sebahagian pembeli sedang berbincang mengenai rumah mereka yang terbengkalai dan masih belum disiapkan pemaju.

MARANG - Tiada apa yang diharapkan 120 pembeli projek perumahan Fasa 3, Taman Sri Purnama, Kampung Gong Cempedak, di sini selain rumah impian mereka yang terbengkalai sejak tujuh tahun lalu dapat disiapkan segera.

Mereka kini buntu apabila rumah yang sepatutnya siap pada tahun 2019 masih belum dapat diduduki sedangkan pinjaman dengan perbankan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) antara RM400 hingga RM800 perlu dibayar setiap bulan.

Iklan
Iklan

Menurut seorang pembeli, Noranizan Mohd Arshad, 39, hatinya sebak dan pilu setiap kali memikirkan rumah impian bersama suami dan anak-anak belum siap sepenuhnya selepas sekian lama menunggu untuk memiliki kediaman sendiri.

Kakitangan awam mempunyai tiga anak berusia 3 hingga 8 tahun berkata, dia tertarik membeli rumah teres satu tingkat berharga RM73,000 itu kerana sesuai dengan kemampuan kewangannya namun tidak menyangka terpaksa berdepan masalah projek terbengkalai.

Iklan

"Saya kini menyewa rumah di Rhu Dua dengan bayaran RM500 sebulan, dalam masa sama terpaksa membayar pinjaman rumah sebanyak RM360. Memang terbeban sangat sebab kena bayar untuk dua rumah, kami bukan orang senang kerana suami hanya bekerja sendiri.

"Setiap kali solat, saya sentiasa berdoa supaya ada pihak dapat bantu selesaikan masalah ini, saya benar-benar berharap dapat tinggal di rumah ini kerana saya sudah tidak mampu beli rumah lain ekoran beban kewangan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak projek perumahan itu di sini pada Sabtu.

Dari kiri: Mohd Hafiz,Noranizan, dan Abdul Halim.

Iklan

Difahamkan, projek perumahan melibatkan 120 unit itu dimulakan pada tahun 2016 dan dijangka siap tiga tahun kemudian. Ia dibeli pada harga antara RM73,000 hingga RM148,000 mengikut jenis.

Kakitangan awam mempunyai dua anak, Mohd Hafiz Salleh, 38, berkata, dia tiada pilihan lain selain membawa keluarga tinggal di rumah ibunya kerana tidak mampu menyewa rumah lain kerana bebanan kewangan.

"Saya tidak mampu sewa rumah kerana perlu bayar pinjaman rumah ini sebanyak RM400 sebulan. Orang tidak berada di tempat kita, boleh berkata apa saja tapi hakikatnya kami sangat menderita dengan keadaan rumah terbengkalai.

"Sedih sangat sebab sampai sekarang belum nampak perkembangan walaupun pelbagai usaha sudah kami lakukan," katanya.

Abdul Halim Mohamad, 37, dari Kampung Binjai Rendah berkata, pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha supaya projek perumahan yang dilaksanakan oleh syarikat swasta sejak tahun 2016 itu dapat diteruskan, namun masih tidak berhasil.

Sebahagian pembeli meninjau keadaan kawasan projek perumahan mereka yang masih terbengkalai.

"Oleh itu, kami memohon kerajaan negeri dapat bantu campur tangan menangani perkara ini supaya rumah impian dapat disiapkan dan kami berjaya miliki kediaman sendiri," katanya.