Dua jam paling bermakna buat 8 banduan wanita

Iklan
Ann menangis dan memeluk ibunya ketika pertemuan penghuni penjara bersama ahli keluarga pada Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri di Penjara Wanita Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Lapan penghuni penjara dilihat sebak sebaik memasuki dewan untuk bertemu ahli keluarga sempena Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan yang diadakan di Penjara Wanita Kota Kinabalu pada Sabtu.

Itu suasana yang dapat dilihat selama kira-kira dua jam pertemuan penghuni penjara wanita bersama ahli keluarga masing-masing yang hadir pada majlis itu.

Iklan
Iklan

Menurut seorang penghuni dikenali sebagai Wida, 33, perjalanan bapanya selama empat jam dari Lawas, Sarawak ke Kota Kinabalu mengubat kerinduannya selepas sudah lama tidak bertemu sejak dia dipenjarakan.

"Aidilfitri kali ini amat bermakna kepada saya sebab ini kali pertama saya terpilih dalam program ini bertemu dengan ahli keluarga.

Iklan

"Bapa saya jarang dapat melawat kerana dia berada jauh di Lawas, sebab itu saya menangis dan sebak sebaik melihat bapa ketika memasuki dewan ini," katanya ketika ditemui di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kapayan.

Ketika ditanya kesalahan yang dilakukan, Wida dipenjarakan pada 2021 kerana melakukan pecah amanah wang syarikat sebanyak RM700,000.

Iklan

"Saya melakukan jenayah itu selama setahun ketika bekerja sebagai kerani kewangan di sebuah syarikat kontraktor di Kota Kinabalu.

"Pada mulanya saya melakukannya kerana atas desakan teman lelaki yang mahu meminjam wang dan pada awalnya memang dia bayar tetapi selepas beberapa kali sehingga jumlah mencecah RM700,000, wang itu tidak dikembalikan.

"Saya dikesan melakukan pecah amanah selepas pihak syarikat melakukan audit dan menyebabkan saya dihukum penjara selama enam tahun," katanya.

Penghuni lain dikenali sebagai Ann, 37, tidak dapat menahan sebaknya sebaik bertemu dengan ibu dan anak saudaranya pada majlis itu.

"Ini kali pertama ibu dan anak saudara yang saya rapat datang menjenguk saya di sini. Pertemuan kami selama dua jam sedikit sebanyak dapat mengubat rindu terhadap ahli keluarga.

"Disebabkan kesalahan saya yang lalu kerana mengambil dan memiliki dadah menyebabkan saya terpaksa terpisah dengan keluarga," katanya yang berasal dari Sipitang.

Katanya lagi, dia ditahan pada tahun 2021 ketika berada di rumah sewa di Kota Kinabalu dan hasil pemeriksaan polis menemui syabu sebanyak 50 gram.

"Saya ikut menjual syabu ketika itu bersama teman lelaki dan biasanya harganya mencecah sehingga RM500. Tetapi akhirnya tindakan itu memakan diri apabila saya ditangkap," katanya.

Seorang lagi penghuni dikenali sebagai Zila, 34, terkilan kerana ahli keluarganya tidak dapat hadir pada program itu.

"Walaupun mereka selalu melawat saya tetapi kali ini berbeza kerana kita masih berada di dalam bulan Syawal.

"Jadi memang saya agak terkilan kerana mereka tidak dapat hadir tetapi saya memahami kerana bapa saya tidak sihat dan sedang menjalani dialisis hari ini," katanya yang telah melakukan kesalahan berulang berkaitan kes dadah.

Sementara itu, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Kesumawati Ilas, memaklumkan program yang dilaksanakan itu bagi memberi peluang kepada penghuni yang layak untuk bertemu dengan ahli keluarga masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Untuk program Jalinan Kasih ini seramai lapan penghuni diberi peluang selepas mereka melepasi beberapa syarat yang telah ditetapkan antaranya baki hukuman ada tiga tahun lagi, lulus fasa orientasi dan sahsiah diri dengan markah melebihi 90 peratus, warga tempatan serta tiada tindakan tatatertib," katanya.