PELUMBA muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril terpaksa berehat lebih tiga minggu daripada saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup dan Kejuaraan Dunia JuniorGP, akibat kecederaan patah tulang pada buku lali kiri.
Pelumba berusia 21 tahun itu yang mengalami kecederaan berkenaan ketika sesi kelayakan Red Bull Rookies Cup di Jerez minggu lepas, bagaimanapun selamat menjalani pembedahan selama empat jam di Hospital Universiti Dexeus, Barcelona awal pagi Sabtu.
Iklan
Iklan
"Saya meminta semua rakyat Malaysia untuk mendoakan saya dan saya tidak sabar untuk kembali dalam trek secepat mungkin. Insya-Allah saya akan berlumba kembali sebaik pulih,” kata Danial Syahmi menerusi audio yang dikongsikan oleh ZK Racing.
Kru pasukan ZK Racing juga berjanji untuk menemani beliau sepanjang proses pemulihan itu, termasuk ketika menjalani fisioterapi dan rawatan selanjutnya.
Kecederaan itu menyebabkan Danial Syahmi terlepas peluang beraksi pada pusingan pertama JuniorGP di Litar Estoril, Portugal bermula Jumaat lepas hingga esok, dan pusingan kedua di Ricardo Tormo, Sepanyol bermula 19-21 Mei.
Beliau juga tidak dapat menyertai pusingan ketiga Red Bull MotoGP Rookies Cup di Le Mans, Perancis bermula hujung minggu depan (13-14 Mei). - Bernama