BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar bekas pemimpin Melayu yang kaya supaya menyumbang kekayaan mereka kepada orang Melayu yang memerlukan.
Beliau berkata, sekiranya benar pemimpin terdahulu ingin membantu orang Melayu dan memperjuangkan nasib orang Melayu, mereka perlu membantu dan bukannya hanya mengkayakan sanak saudara sendiri.
"Jangan guna kuasa untuk kayakan sanak saudara, kemudian dah kaya sanak saudara, apabila hilang kuasa, cakap nak selamatkan orang Melayu, hidup Melayu.
"Jika betul nak tolong dan selamatkan orang Melayu, saya nak beritahu pembesar yang Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri yang kaya-kaya ini, yang kamu ambil berpuluh-puluh bilion (untung), bagi setengah kepada orang Melayu," katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan beliau di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Pelaksanaan Sebuah Idealisme' pada Mac lalu.
Dr Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapan beliau pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.
Tuntutan saman berkenaan difailkan bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Law Practice of Rafique pada 3 Mac lalu dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Menurut Dr Mahathir dalam pernyataan tuntutannya, keseluruhan program itu dipaparkan secara siaran langsung antara lainnya melalui sidang 'Facebook live' akaun Facebook milik Anwar sendiri dan di saluran YouTube Parti Keadilan Rakyat.
PM cabar pemimpin kaya sumbang kekayaan pada orang Melayu
Iklan