BUKIT MERTAJAM - Pengumuman Perdana Menteri untuk menambah dana dalam satu skim besar kepada Kerajaan Pulau Pinang bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini disifatkan hadiah Aidilfitri paling bermakna buat rakyat Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini kerajaan negeri berdepan pelbagai cabaran dan liku dalam mengusahakan projek berkenaan termasuk mendapat tekanan daripada rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, walaupun Pulau Pinang sejak sekian lama membangun dengan pesat dan maju namun kemudahan infrastruktur masih ketinggalan.
"Sudah sekian lama kita tidak ada projek-projek infrastruktur yang besar khususnya dalam menangani kesesakan lalu lintas.
"Bagi Pulau Pinang kita memilih LRT ini sebab ia sudah 10 tahun kita usahakan, menghadapi pelbagai kecaman dan lain-lain. Jadi, kita hadapi dengan sabar dan akhirnya menerima berita gembira ini pada hari ini.
"Dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri tadi, saya mewakili seluruh rakyat Pulau Pinang mengucapkan terima kasih, penghargaan rakyat kepada Kerajaan Persekutuan, Menteri Pengangkutan kerana mengambil berat terhadap projek kita untuk dilaksanakan dengan pembiayaan dana dari Persekutuan," katanya pada sidang media, di sini pada Sabtu.
Beliau ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani Perdana Menteri 2023 di Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, di sini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan meneruskan beberapa cadangan projek infrastruktur yang perlu dilaksanakan bagi tangani masalah kesesakan khusus di Seberang Perai seperti di Batu Kawan, selain daripada kawasan Pulau.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar bagi melaksanakan LRT di Pulau Pinang.
Anwar berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan perkara tersebut dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.