KOTA BHARU - Seorang peniaga sanggup menunggu pemilik beg berwarna merah jambu muncul untuk memulangkan semula beg tersebut yang mengandungi sejumlah wang yang dijumpai di sebuah bank di Kubang Kerian di sini pada Jumaat.
Lelaki berkenaan, Mohd Shahrol Afdi Mohamad, 31, berkata, dia terjumpa beg berwarna merah jambu di atas sebuah mesin transaksi automatik ketika pergi ke bank tersebut untuk urusan pengeluaran wang.
"Mulanya saya ingat kosong dan ambil untuk dibuang ke tong sampah tetapi apabila dipegang terasa tebal dan ada isi.
"Saya buka dan mendapati ada sejumlah wang di dalamnya, namun tidak ada pula kad pengenalan atau barangan lain yang boleh membantu mengesan pemiliknya sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Dia memberitahu, kejadian terjumpa wang tercicir di bank itu sudah kali kedua selepas pertama kali menjumpai wang tunai RM600 di dalam satu sampul raya di bahagian luar premis kewangan di bandar Kota Bharu.
"Waktu itu, saya tunggu di bank hampir sejam sebelum melihat seorang lelaki datang seolah-olah mencari sesuatu.
"Apabila saya tanya, dia jawab mencari sampul berisi duit yang terjatuh lalu saya kembalikan wang yang saya temukan itu,” katanya.
Ujar Mohd Shahrol, prisipnya tidak akan sekali-kali mengambil mana-mana duit yang dijumpai kerana bimbang akan mendapat pembalasan daripada ALLAH SWT.
"Saya takut pemiliknya amat memerlukan duit di dalam beg berwarna merah jambu ini. Ada tiga individu yang hubungi saya tetapi semuanya bukan pemilik sebenar berdasarkan penceritaan yang berbeza.
"Pemilik beg boleh hubungi saya di talian 014-5056278 untuk tuntut beg ini. Saya takkan ambil duit orang kerana kalau kita ambil hak orang, ALLAH akan ambil lebih lagi hak kita,” ujar lelaki itu.