ANKARA - Dua delegasi Ukraine dan Rusia terpaksa dileraikan selepas mereka didapati bertumbuk semasa mesyuarat negara-negara Laut Hitam di Ankara, Turkiye.
Ahli Parlimen Ukraine, Oleksandr Marikovski melepaskan beberapa tumbukan ke kepala pegawai Rusia selepas dia bertindak menyentap bendera negara itu semasa sidang kemuncak yang berlangsung di bangunan Parlimen Turkiye pada Khamis.
Video yang disiarkan di laman Facebook Marikovski menunjukkan dia mengibar bendera di belakang delegasi Rusia Ola Tmofeeva semasa merakam satu video menggunakan telefon pintar.
Tiba-tiba seorang lelaki mendekatinya serta menyentap bendera Ukraine dan kemudian Marikovski mengejarnya dan melepaskan tumbukan mengena kepala delegasi Rusia itu.
Semasa pertikaman lidah yang singkat di laluan Parlimen, Marikovski merampas balik bendera Ukraine dan menolak muka lelaki itu sebelum beberapa orang lelaki menggesa mereka supaya tidak bergaduh.
Marikovski membalas bahawa ini adalah bendera negaranya dan dia berjuang mempertahankan maruah rakyat Ukraine.
Pergaduhan berlaku semasa Perhimpunan Parlimen Kerjasama Ekonomi Laut Hitam yang disertai 13 negara.
Ia berlaku sehari sebelum pegawai dari Rusia, Ukraine dan Turkiye dijadualkan bertemu di Istanbul bagi membincangkan lanjutan perjanjian untuk mengeksport bijirin dan baja melalui pelabuhan Laut Hitam yang dijadualkan tamat pada 18 Mei depan
Sidang kemuncak pada awalnya terganggu apabila delegasi Ukraine menganggu ucapan Timofeeva dan mengibarkan bendera biru dan kuning di sisinya ketika dia sedang bercakap. - Agensi