PENGENDALI skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan, E. Elavarasan enggan menyalahkan faktor luaran selepas Malaysia tumpas 0-2 kepada Thailand pada aksi kedua Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 di Stadium Prince di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pasukannya perlu menerima kekalahan dan tidak menjadikan cabaran bermain dalam cuaca panas melampau sehingga suhu mencecah 39 darjah Celcius sebagai alasan.
"Di sini keadaan cuaca memang berbeza dan pemain terpaksa menyesuaikan diri tetapi kita tidak mahu menyalahkan apa-apa. Ya kita kalah 2-0 dan mereka (pihak lawan) mempunyai peluang yang lebih baik dan menjaringkan gol.
"Kemudian kita terus mencari one special thing to happen tapi tidak menjadi, jadi kita kena terima kekalahan ini,” katanya yang optimis pintu buat skuad bimbingannya ke separuh akhir masih terbuka ketika ditemui selepas perlawanan.
Elavarasan yakin skuad negara akan bangkit memburu keputusan positif pada aksi ketiga bertemu juara bertahan, Vietnam di venue sama Isnin depan biarpun di atas kertas, keputusan seakan berpihak kepada pasukan lawan namun Malaysia bukan pasukan yang lemah.
"Ini adalah kitaran di mana pemain-pemain akan menempuh perlawanan sebegini. Untuk perlawanan hari ini, kita bermula baik tetapi dibolosi sebelum tumpuan terjejas. Apa yang penting mentaliti para pemain yang mahukan kemenangan, saya pasti kita akan buat lebih baik,” katanya.
Kapten pasukan, Muhammad Azam Azmi Murad pula menyifatkan pasukan negara tidak mempunyai pilihan lain selain wajib melakar kemenangan ke atas Vietnam dan Singapura dalam baki dua perlawanan kumpulan.
Pemain Terengganu FC itu menyeru rakan sepasukan untuk lebih berdisiplin dalam permainan.
"Bagi saya, kekalahan ini satu pengajaran dan semangat untuk pasukan bangkit semula... malam ini mungkin para pemain penat ataupun hilang fokus sekejap. Fokus penting dalam permainan, kalau tak fokus kita akan dihukum, perkara itu perlu ditambah baik lagi,” katanya.
Pada pertembungan hari ini, dua pemain gantian Thailand Anan Yodsangwal dan Yotsakon Burapha masing-masing menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Muda selepas meledak gol pada separuh masa kedua.
Selepas dua perlawanan, Vietnam dan Thailand berkongsi enam mata di kedudukan pertama dan kedua sementara Malaysia ketiga (tiga mata) manakala Singapura dan Laos masing-masing di kedudukan tercorot tanpa mata. - Bernama