KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan syarikat-syarikat telekomunikasi akan bermesyuarat pada Isnin susulan keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan rangkaian 5G di bawah rangkaian tunggal melalui Digital Nasional Berhad (DNB) hingga mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk sehingga akhir tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau akan menjelaskan keputusan kerajaan untuk beralih kepada model dwirangkaian melibatkan beberapa entiti disertai syarikat telekomunikasi bagi menjalin kerjasama membina menara telekomunikasi yang mencukupi dalam usaha memastikan wujud aspek kelewahan atau lebih daripada satu rangkaian selepas sasaran liputan 5G di bawah rangkaian tunggal itu dicapai.
"Ini bagi memastikan jika ada masalah berlaku pada satu-satu rangkaian (telekomunikasi), masih ada sokongan,” katanya kepada pemberita pada majlis Raya + Influencer 2023 di Muzium Telekom di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, perancangan itu diharap akan menjadi situasi menang-menang dengan hak rakyat diutamakan dan pada masa sama, isu monopoli diselesaikan.
Mengenai isu liputan 4G, Fahmi berkata biarpun capaian dikatakan sudah mencapai 96.92 peratus namun realitinya tidak demikian kerana angka itu cuma agregat atau komposit peratusan capaian semua syarikat telekomunikasi.
Beliau berkata, ini menyebabkan pengguna sering terpaksa menggunakan dua kad sim atau lebih daripada satu syarikat perkhidmatan telekomunikasi.
"Apabila balik kampung contohnya, tidak ada liputan syarikat telekomunikasi A dan pengguna terpaksa berbelanja lebih untuk syarikat telekomunikasi B.
"Saya telah mengeluarkan arahan supaya perkara ini diselesaikan bermula bulan Jun,” katanya.
Ditanya mengenai isu judi dalam talian dan iklan palsu di platform media sosial, Fahmi berkata, MCMC akan bertemu pihak Meta Platforms Inc (Meta) iaitu pemilik platform media sosial Facebook dan Instagram untuk cuba memahami sebab mereka lambat mengenal pasti penipuan yang berlaku.
Katanya, beliau juga telah mengarahkan Pengerusi MCMC untuk memanggil pihak Meta berhubung perkara itu selain berpandangan ada kewajarannya syarikat penyedia perkhidmatan media sosial itu membuka pejabat di Malaysia bagi memudahkan pemantauan perkhidmatan mereka. - Bernama