KOTA BHARU - Beberapa lokasi di bandar Kota Bharu bertukar wajah umpama di luar negara apabila bunga angsana yang berwarna kuning bagaikan emas berguguran sejak Isnin lalu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati lokasi-lokasi memukau pandangan itu termasuklah di belakang restoran Pizza Kota Bharu, Jalan Mahmood, pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV dan bersebelahan bangunan Kota Darulnaim yang menjadi lokasi tumpuan swafoto orang ramai.
Seorang pembuat pastri, Aidil Afizudin Lokman, 23, berkata, dia pertama kali menyaksikan bunga-bunga luruh dari pokok malar hijau berketinggian kira-kira 40 sehingga 48 meter tersebut.
"Saya tinggal di Kubang Kerian dan belum pernah menyaksikan fenomena yang begitu memukau mata ini.
"Sangat teruja sebab biasanya bunga luruh macam ini hanya dapat ditonton dalam drama sahaja,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Sementara itu, seorang suri rumah, Rosliza Jasmi, 37, dari Gombak, Selangor yang pulang bercuti di kampung halaman suaminya di Ketereh berhenti di lokasi bunga luruh di bandar itu untuk mengambil gambar.
"Saya mengunjungi Pasar Siti Khadijah dan kebetulan lalu dengan kereta di kawasan ini ternampak bunga-bunga sedang gugur yang amat cantik sekali.
"Tak sangka Kelantan ada pandangan yang sangat indah seperti ini. Saya sangat teruja dan turun untuk mengambil gambar bersama anak serta suami,” katanya.
Seorang pekerja pembersihan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam, Zahari Zainal Abdin, 52, berkata, bunga-bunga yang luruh itu seolah-olah tidak pernah habis walaupun sentiasa dibersihkan.
"Biasanya kerja-kerja yang dilakukan ialah mengutip sampah dan daun-daun sahaja. Kali ini perlu menyapu bunga-bunga yang bertaburan di atas jalan raya dan hanya berlaku sekali dalam setahun.
"Hilang rasa penat bekerja melihat orang ramai gembira sambil menikmati keindahan ciptaan ALLAH Yang Maha Esa,” luahnya.