ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 820 kilogram (kg) sayur jenis akar teratai dicemari tanah di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, pada Sabtu.
Maqis dalam satu kenyataan pada Ahad, memaklumkan hasil pemeriksaan oleh pegawai penguasa mendapati akar teratai dimuatkan dalam 82 kotak bernilai RM7,000 itu dibawa masuk dari Singapura.
Iklan
Iklan
"Pemeriksaan terhadap sebuah lori yang membawa pelbagai jenis sayur-sayuran pada jam 2.50 petang itu, telah menemukan muatan 1,060 sayur jenis akar teratai dan mendapati sebanyak 820kg sayur tersebut dicemari dengan tanah.
"820kg sayur tersebut dimuatkan di dalam 82 kotak sayur bertanah yang disorokkan di bahagian bawah dan ditindih menggunakan kotak sayuran yang bersih bagi mengaburi mata pegawai pemeriksa dan telah ditahan," katanya.
Katanya, mengimport produk pertanian dengan kehadiran perosak adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya.