FRANK Lampard boleh menarik nafas lega apabila Chelsea menamatkan deretan enam kekalahan setelah menewaskan Bournemouth 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Jurulatih itu berkata, para pemain The Blues boleh meraikan kejayaan tersebut, namun mereka juga perlu sedar perjuangan belum berakhir.
"Mereka boleh menikmatinya dan kami gembira buat seketika.
Dalam aksi itu, jaringan lewat daripada Benoit Badiashile dan Joao Felix membantu The Blues meraih tiga mata berharga.
Chelsea terlebih dahulu di depan menerusi Conor Gallagher pada minit kesembilan, sebelum Matias Vina menyamakan kedudukan buat Bournemouth.
Ia merupakan kemenangan pertama Lampard sejak kembali ke Stamford Bridge sebagai pengendali sementara bulan lalu dan kap yang ke-100 sebagai pengurus saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bekas pemain tengah England itu turut mengingatkan anak buahnya bahawa mereka tidak boleh berhenti menjelang empat perlawanan terakhir musim ini.
"Pemain-pemain hanyalah manusia, kami semua terjejas dengan cara yang sama apabila anda tidak memenangi perlawanan.
"Anda tidak berasa seperti anda berada pada tahap terbaik dan satu-satunya cara untuk mengatasinya adalah dengan berjuang dan bekerja keras.
"Mereka perlu menikmati kemenangan ini dan perlu mengekalkan usaha sama untuk mengorak langkah ke hadapan sehingga akhir musim ini."
Kemenangan di Dorset membantu juara Eropah dua kali itu memperoleh 42 mata untuk menghuni tangga ke-11 EPL.