BESUT - Seorang hafizah 30 juzuk al-Quran membuktikan tekad dan usaha bersungguh-sungguh mampu meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) biarpun mengambil cabang pengajian yang berbeza sebelum ini.
Safwa Zamri, 19 yang bergelar hafizah ketika berusia 14 tahun meraih markah tertinggi dalam kertas peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1), sesi Mac 2023 sekali gus melayakkannya mendapat markah tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi dunia dalam peperiksaan itu.
Anak bongsu dari lima beradik itu menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize dengan mendapat keputusan cemerlang 98 peratus.
Safwa yang merupakan pelajar semester kedua (program Asasi) Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu di kampus Dungun itu berkata, dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan kerana minat terhadap subjek matematik.
"Saya lebih cenderung untuk memilih jurusan perakaunan berbanding jurusan lain kerana minat saya terhadap subjek matematik.
"Adik beradik lain juga menyarankan supaya ambil bidang ini kerana dalam keluarga tiada lagi yang ambil bidang perakaunan sebab yang lain ambil perubatan dan kejuruteraan," katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Pengkalan Kubur, di sini, pada Sabtu.
Ditanya mengenai rekod terbaharu yang dicapai, Safwa memberitahu, dia sendiri tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek itu kerana baru mempelajarinya dalam tempoh enam bulan.
"Saya sebenarnya rasa sukar juga ketika mula-mula belajar bidang perakaunan. Namun saya tidak mengalah dan terus membuat ulang kaji, latihan dan sering bertanya.
"Saya juga membuat rujukan dengan mereka yang telah mengambil bidang itu," kata anak bongsu dari lima beradik itu.
Sebelum ini bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut itu mengambil Al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab (SUUA) iaitu penggabungan Kurikulum Kebangsaan aliran tahfiz sains dalam Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan kitab turath untuk murid tahfiz terpilih pada peringkat menengah atas.
Safwa yang mengambil jurusan sains tulen dan agama mendapat 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021.
Sementara itu, bapa Safwa, Zamri Mohd Amin, 56 berkata, Safwa menunjukkan semangat belajar yang tinggi sejak dibangku sekolah rendah.
"Pada saya, pencapaian yang diperoleh Safwa merupaka rezeki kurniaan ALLAH SWT dan saya bersyukur dan berdoa supaya dia terus mengekalkan kecemerlangan yang diperoleh," katanya yang merupakan seorang guru.
Sementara itu, ibunya, Rashidah Ab Rahman, 57 berkata, Safwa memiliki semangat yang tinggi dalam mencapai sesuatu yang diinginkan.
"Bagi saya, Safwa seorang anak yang rajin dalam pelajaran. Dia sanggup berjaga malam seorang diri untuk mengulang kaji pelajaran kerana mahu memastikan dia boleh menguasai setiap subjek dengan cemerlang.
"Bagi saya seorang ibu pula, saya akan terus mendoakan kecemerlangan anak-anak dan mencapai hala tuju serta cita-cita mereka," ujarnya.