SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tiada keperluan menubuhkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilihat sebagai satu bentuk pembaziran wang.
Beliau turut mendakwa, program berkenaan hanya digunakan sebagai alat politik dan bersifat etnosentrik.
"Saya tidak menyesal memansuhkan PLKN dan menggantikannya dengan (program) MFLS (Malaysia Future Leaders School).
"Generasi muda kita bukan lemah. Cabaran pelajar hari ini makin susah. Habis belajar kena hadap kos sara hidup tinggi, bayar hutang pendidikan lagi.
"Lambat grad, makin susah dapat kerja. Generasi sandwich, manalah tak stress," katanya di laman Twitter pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas hantaran pengguna Facebook, Ahmad Burhanuddin yang berpandangan program PLKN perlu diwujudkan semula ekoran mampu meningkatkan kemahiran hidup.
Sebelum ini bekas Menteri Belia dan Sukan itu lantang menyuarakan bantahan terhadap cadangan penubuhan semula PLKN setelah ia dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Malah beliau menegaskan, kerajaan seharusnya menambah baik sistem pendidikan sedia ada di negara ini.
Sementara itu bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut menyokong pembatalan program PLKN yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional pada Disember 2003.
"Saya antara yang dari awal pelancarannya, skeptikal dengan PLKN dan lepas itu cadang dikaji semula. Saya setuju ia dibatalkan," tulisnya membalas ciapan Syed Saddiq.