KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu telah menahan 10 individu termasuk seorang ADUN bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.
Pengarahnya, Mohd Zaki Hassan berkata, tangkapan itu melibatkan seramai enam individu yang menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan, seorang orang awam dan dua lagi pekerja swasta.
Iklan
Iklan
"10 individu ini ditahan dalam tempoh empat bulan (Januari hingga April) tahun ini dengan purata kesalahan yang dilakukan enam penjawat awam itu melibatkan salah guna kuasa dan menerima suapan,” katanya.
Mohd Zaki berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Taklimat Khas SPRM Terengganu bersama pentadbiran Kerajaan Terengganu 2019 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, kes rasuah membabitkan penjawat awam di negeri ini masih dalam keadaan terkawal.
"Pemantauan terhadap agensi-agensi kerajaan terus dilaksanakan, namun, secara umumnya kes rasuah melibatkan pejabat kerajaan di Terengganu sama ada milik kerajaan negeri atau persekutuan dalam keadaan terkawal. Ada kes, tetapi boleh dikawal," katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, SPRM masih menjalankan kajian berhubung kes rasuah membabitkan seorang ADUN di negeri ini yang ditahan Januari lalu.