'Dah bersara pun rumah masih tak siap-siap'

Iklan
Sebahagian pembeli rumah yang hadir ketika sesi taklimat yang diadakan di Dewan Serbaguna D'Aman Residensi di sini pada Ahad.

IPOH - Penantian hampir enam tahun kira-kira 60 pembeli untuk mendiami rumah baharu masih tidak dapat direalisasikan apabila kediaman di D'Aman Residensi Bandar Meru Raya di sini belum disiapkan.

Seorang pembeli, Nor Shidah Zainal Abidin, 63, berkata, rumah yang dibeli pada tahun 2018 itu memang untuk didiami apabila tidak lagi bekerja tetapi selepas empat tahun bersara impian tersebut masih belum tercapai.

Nor Shidah

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu memang mengecewakan kerana impian untuk berhari raya di rumah baharu tidak lagi kesampaian.

"Memang saya rancang untuk tinggal di sini lepas bersara sebab dekat dengan pusara arwah suami di Tanah Perkuburan Islam Bandar Meru Raya ini. Boleh selalu ziarah nanti. Tapi sampai sekarang tak boleh duduk sini.

Iklan

"Kalau ikutkan memang geram sebab dah bayar deposit RM70,000 dan pinjaman bank pun lagi dua tahun nak habis. Saya harap mana-mana pihak bertanggungjawab bantulah kami ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Dewan Serbaguna D'Aman Residensi di sini pada Ahad.

Sementara itu, wakil Jawatankuasa Bertindak berkaitan isu rumah berkenaan, Mohd Zulfadli Abd Khir berkata, pihaknya bersama lebih 40 pembeli sudah melantik peguam untuk tindakan perundangan ke atas pemaju.

Iklan

Menurutnya, pihak peguam yang dilantik telah dua kali menghantar surat tuntutan kepada pihak pemaju pada tarikh 23 Februari 2023 dan 3 Mei lalu namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Berdasarkan makluman dari pihak Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, berdasarkan pemantauan dilakukan oleh Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta pada 12 Januari lalu, tiada sebarang aktiviti pembinaan dijalankan di tapak projek perumahan tersebut.

"Setiap bulan, kami telah membuat pembayaran ansuran bulanan kepada institusi-institusi kewangan bagi pembiayaan pembelian rumah-rumah kami," katanya.

Sementara itu, dalam sesi taklimat oleh peguam Muhd Daniel Baharudin dari Tetuan Yusfarizal Aziz dan Zaid, seramai kira-kira 60 orang hadir mendapatkan penjelasan terhadap tindakan perundangan yang akan dibuat terhadap pemaju.