Terengganu tegas soal integriti: MB

Iklan
Ahmad Samsuri (kanan) berbual bersama Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan sempena Taklimat Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Terengganu (SPRM) Terengganu bersama pentadbiran Kerajaan Terengganu 2019 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan bertegas dan tidak memandang remeh setiap isu melibatkan integriti dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan setiap individu bebas daripada terjebak dengan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Iklan
Iklan

"Walaupun kes itu berlaku lima tahun dulu atau tiga tahun dulu, perkara melibatkan rasuah ini serius, kita tak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Taklimat Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Terengganu (SPRM) Terengganu bersama pentadbiran Kerajaan Terengganu 2019 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Katanya, taklimat itu merupakan induksi kepada ahli politik yang menang jawatan dan menerajui pentadbiran Kerajaan Terengganu hari ini.

Iklan

"Tak semua dapat maklumat mengenai perkara berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan seumpamanya.

"Jadi, taklimat ini untuk beri penjelasan lebih lanjut berhubung sebarang salah laku yang boleh dikaitkan dengan rasuah,” katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya akan membuat penambahbaikan bagi membanteras gejala rasuah daripada menular dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita akan buat penambahbaikan berterusan kerana isu integriti adalah perkara serius.

"Jadi kita akan tengok apa jua ruang untuk tutup perkara-perkara yang boleh mengganggu kestabilan integriti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan berbincang mengenai keperluan untuk setiap wakil rakyat dan pegawai kerajaan untuk mengisytiharkan harta serta keputusan untuk menolak pemberian sebarang bentuk hadiah dalam urusan rasmi kerajaan.