JAGUH karate negara, R. Sharmendran menyifatkan final Sukan SEA 2023 adalah yang paling sukar selepas menggondol pingat emas acara kumite individu lelaki bawah 75 kilogram (kg) di Pusat Konvensyen Chroy Changvar di sini, pada Ahad.
Pembawa Jalur Gemilang berusia 31 tahun itu yang mempertahankan emas yang dimenangi sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur berkata pertarungan akhir berdepan atlet Kemboja Sot Phanith merupakan final paling sengit sepanjang penampilannya dalam lima edisi Sukan SEA.
"Ya final paling sengit kerana generasi muda sedang meningkat naik, mereka hampir menewaskan saya, ia bukan mudah. Pesaing sekarang sangat sukar dan saya tahu pertandingan ini akan menjadi sangat sukar dan saya pun sudah tua, tak laju lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, emas kali ini cukup bermakna dan melengkapkan rasa gembiranya selepas dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang dan dikejutkan dengan kehadiran ibunya ke Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2023 hujung bulan lepas.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada edisi kali ni bakal menjadi penampilan terakhir di Sukan SEA, Sharmendran berkata, hanya waktu akan menentukan.
Katanya, jika khidmat beliau masih ditagih Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) beliau sedia mempertimbangkan perkara tersebut.
"Masa akan menentukan dan itulah yang saya fikirkan sebelum ini, selepas tiga (pingat emas) saya mahu berehat tapi saya tentu akan rindukan karate. Saya lakukan kerana minat, elaun saya tak tinggi tetapi sukan ini beri saya kegembiraan.
"Berlatih, berpeluh, kena tumbuk, koyak sana dan bengkak sini semua itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya.
Ini merupakan emas keempat berturut-turut Sharmendran dalam kategori bawah 75kg selepas edisi 2017 di Kuala Lumpur; edisi 2019 di Manila, Filipina dan edisi 2021 di Hanoi.
Pada penampilan pertamanya pada edisi 2013 di Myanmar, Sharmendran sekadar merangkul perak kumite individu lelaki bawah 67kg sebelum karate tidak dipertandingkan pada edisi 2015 di Singapura. - Bernama