Lelaki ada 27 rekod lampau curi sarang burung

Iklan
MOHD ZAMRI

JERTIH - Seorang lelaki yang memiliki 27 rekod lampau ditahan lagi apabila disyaki membuat onar dengan mencuri sarang burung layang-layang di bandar Jertih di sini.

Suspek berusia 40 tahun berasal dari Kuantan, Pahang yang mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau ditangkap bersama tiga rakannya berusia 33 hingga 38 tahun oleh anggota polis kereta peronda (MPV) jam 4 pagi kelmarin.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, anggota polis peronda yang mendapat maklumat awal telah melakukan rondaan di sekitar bandar Jertih.

Menurutnya, anggota terbabit kemudian ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di tingkat bawah bangunan yang dijadikan rumah burung layang-layang milik seorang ahli perniagaan lelaki berusia 74 tahun dari Kampung Padang Luas.

Iklan

"Keempat-empat suspek berjaya diberkas di tangga bangunan tersebut ketika suspek cuba untuk melarikan diri,” katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, pemilik rumah sarang burung layang-layang itu hanya menyedari bangunan itu dipecah masuk apabila mendapati pintu jeriji ada kesan umpil dan kunci mangga telah tiada pada jam 6 pagi iaitu selepas dua jam suspek diberkas.

Iklan

Menurutnya, suspek cuba mencuri lima kilogram sarang burung layang-layang bernilai kira-kira RM17,000 yang telah dikumpul oleh ahli perniagaan terbabit sehari sebelum kejadian.