SHAH ALAM - Tidak semua pertanian di Malaysia terkesan dengan cuaca panas yang melanda negara contohnya seperti penanaman sayur-sayuran.
Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong, cuaca panas telah memberi impak positif kepada penanaman sayur-sayuran kerana keadaan itu menyebabkan hasil pengeluaran lebih banyak dan berkualiti tinggi.
"Sebagai petani yang menanam sayur-sayuran, kami tidak mengalami sebarang kemerosotan hasil tanaman disebabkan oleh cuaca panas.
"Sebenarnya dalam sektor pertanian cuaca itu (panas) adalah baik untuk pertanian selagi mana tanaman memperoleh air yang mencukupi,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berlanjutan sehingga Ogos ekoran perubahan kitaran musim kepada Monsun Barat Daya.
Dalam pada itu, Ee Mong menjelaskan pihaknya tidak mengalami masalah kemerosotan hasil tanaman sebaliknya berlaku lebihan sehingga ia terpaksa dibuang.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan sekiranya cuaca terlampau panas sehingga suhu mencecah 40 darjah Celsius, tidak dinafikan bahawa keadaan itu akan memberi kesan kepada pertanian.
Jelasnya, apabila cuaca terlampau panas, ia akan meningkatkan risiko serangan serangga perosak yang mana ia mengakibatkan tanaman tidak berkualiti dan hasil pengeluaran merosot.
Pada masa sama, Ee Mong turut berkongsi, suhu ideal untuk bercucuk tanam adalah sekitar 35 darjah Celsius.