MASIH dalam suasana Aidilfitri, minggu-minggu terakhir ini memang banyak jemputan ke rumah terbuka sampai tak larat Merak Jalanan nak penuhi semuanya.
Tapi minta maaflah, kali ini bila pergi beraya, Merak Jalanan dan keluarga memang akan memakai pelitup muka (kecuali masa makan) dan tak akan salam atau peluk cium tuan rumah ya!
Ini bukannya disebabkan Merak Jalanan baru baik daripada kena Covid-19, tapi memang seharusnya rakyat Malaysia kembali serius menangani penyakit ini.
Walaupun kita sekarang dah hidup dalam era pascapandemik, tetapi ternyata virus itu masih wujud dan simptom yang dihadapi juga tetap 'menyakitkan'.
Apatah lagi, varian terbaharu, XBB.1.16 atau Arcturus telah dikesan di negara kita dan subvarian daripada keluarga Omicron ini didakwa menular lebih cepat, iaitu 1.2 kali ganda lebih pantas.
Pada hari raya ketiga tempoh hari, selain demam teruk sampai tak boleh bangun, Merak Jalanan juga mengalami selesema dan batuk yang agak kritikal sampai kehilangan deria bau dan rasa.
Sudahlah tak dapat beraya. 'Serangan' kali ini lebih berbisa berbanding kali pertama Merak Jalanan dijangkiti pada tahun 2021.
Menurut laporan akhbar juga, masih ramai dimasukkan ke hospital terutamanya yang berisiko tinggi seperti warga emas (macam Merak Jalanan) dan mereka yang mempunyai penyakit komorbid.
Jangkitan Covid-19 sepanjang perayaan Aidilfitri turut meningkat kepada tiga peratus dengan 4,817 kes dilaporkan.
Jadi sukalah Merak Jalanan nak ingatkan kepada semua supaya jaga kesihatan dan mulakan tabiat pakai pelitup muka semula di mana saja kita berada.
Kita juga kena jujur juga dengan diri sendiri, kalau diri tidak sihat janganlah berkunjung ke rumah saudara-mara.
Selain itu, sebelum keluar beraya atau ke rumah terbuka, rajin-rajinlah buat ujian kendiri agar kita tahu tahap kesihatan diri. Dah tahun 2023, tapi slogan 'kita jaga kita' masih terpakai ya!