TUMPAT - Penjual aiskrim maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar kereta di Kilometer 3 Jalan Kota Bharu - Pengkalan Kubor dekat Kampung Pasir Pekan di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengahari, mangsa Ahmad Samosa, 60, warganegara Thailand disahkan maut dilokasi.
Mangsa terlibat kemalangan ketika menjaja aiskrim di sekitar kampung Pasir Pekan menghala ke Wakaf Bharu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha Y100 bersama peti aiskrim.
"Sebaik tiba dilokasi, motosikal mangsa berada di lorong kiri hilang kawalan menyebabkan mangsa terjatuh ke laluan tengah.
"Pemandu kereta jenis Perodua Kancil cuba membrek tetapi disebabkan jarak dekat, pemandu warga emas kereta terbabit terlanggar bahagian belakang motosikal tersebut," katanya.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat.
"Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan1987," katanya.