SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Cadangan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus masih belum dibawa ke meja perbincangan.
Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP Kwasa Damansara di sini pada Isnin.
"Belum lagi, tak bincang lagi (cadangan 20 peratus potongan KWSP bagi majikan),” katanya ketika ditanya berkenaan cadangan tersebut tidak disokong oleh Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Anwar pada 1 Mei memaklumkan cadangan untuk menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini akan dibincang oleh kerajaan.
Perdana Menteri memaklumkan, cadangan berkenaan sudah dikemukakan tetapi belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Namun demikian, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, cadangan tersebut adalah tidak wajar.
Menurut beliau, sekiranya cadangan itu hendak dilaksanakan, caruman perlu dibuat secara bersama antara majikan dan pekerja.
Tambah Shamsuddin, cadangan itu akan melibatkan penambahan kos yang besar seterusnya memberikan kesukaran kepada majikan Industri Kecil dan Sederhana IKS serta pengusaha perniagaan mikro.
Jelasnya, cadangan berkenaan juga perlu dikaji dan diperhalusi agar pandangan semua pihak terbabit dapat diambil kira.
ARTIKEL BERKAITAN:PM ulang pendirian tidak benarkan pengeluaran KWSP
ARTIKEL BERKAITAN:PM gesa KWSP tingkat pelaburan kepada 70 peratus
ARTIKEL BERKAITAN:KJ dakwa pengumuman KWSP oleh PM tidak cermat