Syarikat proses mineral dari China mula operasi di Perak 2024

Iklan
Saarani (lima dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kilang Pemprosesan Mineral di Chemor pada Isnin.

IPOH - Sebuah syarikat memproses mineral dari China, Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd akan memulakan operasi pelaburan bernilai RM100 juta dengan pembinaan kilang baharu di Silver Valley Technology Park (SVTP), Kanthan, Chemor di sini pada 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan kilang pemprosesan Zero Waste Facility dengan kos pembinaan bernilai RM40 juta itu merupakan kilang pemprosesan pertama di rantau ini dibina menggunakan model Built-To-Suit and Lease (BTSL) di atas tapak seluas 4.75 hektar di SVTP.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembukaan kilang tersebut merupakan permulaan bagi inisiatif pembangunan di SVTP yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri Perak.

"Kilang ini akan memproses mineral secara komprehensif, merangkumi proses pertengahan dan hiliran. Ia dijangka menghasilkan pengeluaran sebanyak 1 juta tan pasir silika putih setahun, 100,000 tan pasir kuartza berketulenan tinggi serta penghasilan bahan silikon untuk digunakan bagi industri tenaga boleh baharu.

Iklan

"Pelaburan daripada pihak Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd yang bernilai RM100 juta ke dalam industri mineral ini bakal membentuk momentum baharu untuk membangunkan aktiviti pertengahan dan hiliran serta merevolusikan nilai rantaian secara keseluruhan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kilang Pemprosesan Mineral Secara Built To Suit and Lease oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan Usahasama Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd di Persiaran Perindustrian Kanthan 1, Kanthan, Chemor di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou Youbin; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zaki Mahyuddin; Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan wakil syarikat Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd, Cui Wen Chuan.

Saarani berkata, kilang tersebut dijangka memulakan operasi pada suku tahun ketiga 2024 dan dijangka menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu buat rakyat di negeri ini.

Menurutnya, pelaburan syarikat tersebut membabitkan penghasilan kaca berkualiti tinggi yang digunakan dalam teknologi sistem tenaga solar.

Jelasnya, bahan mineral yang diambil dari kawasan yang ditetapkan akan dibawa terus ke kilang berkenaan untuk diproses menjadi produk.

Pada 27 April tahun lalu, kerajaan negeri Perak menerusi PKNPk telah memeterai perjanjian dengan syarikat berkenaan bagi pembinaan kilang tersebut.