Sampah jadi 'hiasan', pengunjung jijik pantai kotor

Iklan
Sikap segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata jadikan pemandangan cantik di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh bertukar jadi cacat dan suram.

PASIR PUTEH - Sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata menjadikan pemandangan cantik di Pantai Bisikan Bayu di sini bertukar menjadi 'cacat' dan suram.

Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati, sampah sarap seperti plastik, sisa makanan bertaburan di sepanjang kawasan pantai berkenaan.

Iklan
Iklan

Lebih menyedihkan, tong-tong sampah yang disediakan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) di sepanjang kawasan pantai itu seolah-olah tidak berfungsi gara-gara sikap 'kurang' bertanggungjawab segelintir individu.

Seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Amirul, 23, berkata, walaupun sudah dua kali berkunjung ke kawasan berkenaan, namun lokasi di kawasan tersebut tidak berubah malah bertambah teruk.

Iklan

"Saya pernah ke sini, sekitar bulan Februari lalu dan keadaannya sama, sampah memenuhi kawasan.

"Kunjungan kali ini, lagi mengejutkan apabila sampah seperti 'hiasan' pantai, malah ia menjijikkan," katanya.

Iklan

Menurut dia, walaupun tong sampah banyak disediakan namun pengunjung seolah-olah 'buta' dengan tidak menggunakan kemudahan tersebut dengan sebaik mungkin.

Lebih menyedihkan tong-tong sampah yang disediakan oleh MDPP di sepanjang kawasan pantai itu seolah-olah tidak berfungsi gara-gara sikap 'kurang' bertanggungjawab segelintir individu.

Bagi peniaga makanan yang ingin dikenali sebagai Dayang, 42, memberitahu, sampah yang ada juga disebabkan oleh fenomena alam.

Ujarnya, pantai berkenaan sering berlaku air pasang dan kejadian itu menyebabkan sampah sarap dibawa bersama sehingga memburukkan keadaan di lokasi tersebut.

Daya berkata, selebihnya adalah sikap pengunjung sendiri yang tidak bertanggungjawab sehingga merosakkan keindahan pantai.

"Mungkin CCTV (rakaman kamera litar tertutup) perlu dipasang di kawasan ini bagi 'memantau' gelagat pengunjung supaya lebih berhati-hati apabila membuang sampah," katanya.

Sementara itu, MDPP ketika dihubungi meluahkan rasa kesal dengan apa yang berlaku.

Menurut MDPP, kawasan tersebut adalah tanah persendirian, bagaimanapun pihaknya telah menyediakan tong sampah secukupnya untuk kemudahan pengunjung.

"Kami berharap pengunjung dapat memberi kerjasama dengan turut sama menjaga kebersihan pantai," ujarnya.

Sebelum itu pada Ahad, media tempatan melaporkan penyampai radio jelita, Hunny Madu, menzahirkan rasa kecewa apabila melihat tahap kebersihan di Pantai Bisikan Bayu, Tok Bali yang disifatkannya sangat menyedihkan.

Hunny atau nama lengkapnya Hani Farhana Mohd Hatim, 39, terpaksa membatalkan niatnya untuk menyinggah dan membeli aiskrim di tepi pantai setelah melihat keadaan persekitaran tersebut.