PUTRAJAYA - Rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) berhubung keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang menolak permohonan untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan sebelum ini kekal ditolak.
Bagaimanapun mengambil kira kesan keputusan itu terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), Chang Lih Kang bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi kilang cracking and leaching (C&L) tersebut sehingga 31 Disember depan.
"Oleh yang demikian, berkuatkuasa 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kepentingan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesihatan awam.
Tegas beliau, kerajaan memahami kepentingan industri nadir bumi dan komited untuk memastikan sebarang urusan perniagaan yang dijalankan berkaitan industri ini tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan penduduk setempat.
"Justeru, keputusan ini diambil selepas penilaian yang teliti, berlandaskan prinsip kelestarian, pembangunan dan keselamatan," ujar belia.
Lih Kang berkata, kementerian akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan industri nadir bumi di Malaysia berkembang secara bertanggungjawab dan mematuhi peraturan serta piawaian yang ditetapkan.
Pada 28 April yang lalu, satu sesi pendengaran telah diadakan bagi mendengar rayuan daripada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) berhubung keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan sebelum ini.