Empangan susut: Pulau Pinang perlu pembenihan awan

Iklan
Keadaan terkini kapasiti efektif air di Teluk Bahang pada Isnin.

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengesyorkan operasi pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang dalam masa terdekat berikutan rizab air mentah kedua-dua empangan di pulau itu masih di bawah 50 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, operasi pembenihan awan gelombang pertama yang dilakukan pada 2 hingga 4 Mei lalu hanya menghasilkan jumlah hujan yang sedikit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu menyebabkan kapasiti efektif empangan masih rendah.

"Sepanjang tempoh tiga hari itu, PBAPP merekodkan taburan hujan 8.5 milimeter (mm) di Empangan Air Itam dan 19.5 mm di Empangan Teluk Bahang. Kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam mencatatkan 82.5 peratus dan Empangan Teluk Bahang 64 peratus pada 1 Januari lalu.

Iklan

"Pada 1 Mei lalu iaitu sebelum pembenihan awan dilakukan, kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan 43.6 peratus manakala Empangan Teluk Bahang 49.1 peratus.

"Bagaimanapun, pada 7 Mei iaitu selepas pembenihan awan dilakukan, kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan 41.5 peratus dan Empangan Teluk Bahang 48.4 peratus. Jumlah ini menunjukkan kedua-dua empangan memerlukan lebih banyak taburan hujan kerana peratusan masih di bawah 50 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambah Pathmanathan, dengan kemungkinan berlakunya fenomena El Nino pada tahun ini, ia amat mustahak untuk dilakukan bagi mengelakkan kedua-dua empangan di Pulau Pinang kering sebelum tiba musim hujan akan datang.

"Oleh itu, PBAPP mengesyorkan pelaksanaan pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang untuk mengoptimumkan taburan hujan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

"Dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mei, kapasiti efektif Empangan Air Itam menyusut sebanyak 41 peratus manakala Empangan Teluk Bahang menyusut 15.6 peratus. Ini kerana kapasiti efektif maksimum Empangan Air Itam ialah 2,160 juta liter (ML) manakala bagi Empangan Teluk Bahang adalah 18,240 ML," katanya.

Kata beliau, salah satu faktor utama yang menyebabkan penyusutan pantas rizab empangan pada tahun 2023 adalah jumlah hujan yang rendah sejak 1 Januari lalu.

"Faktor lain yang juga penting ialah penggunaan air yang tinggi terutamanya penggunaan air domestik yang menyumbang 61.6 peratus daripada jumlah penggunaan air di Pulau Pinang pada tahun 2022.

Pada 2022, PBAPP membekalkan 868 ML air terawat setiap hari di Pulau Pinang. Ini adalah purata jumlah setiap hari tertinggi untuk satu tahun yang telah PBAPP bekalkan.

"Pada Januari tahun ini, PBAPP pecah rekod 2022 dengan membekalkan purata 875 juta liter sehari (JLH) manakala fasa Februari, kita membekalkan purata yang lebih tinggi iaitu 944 JLH.

"Sehubungan itu, PBAPP merayu kepada semua pengguna air domestik di Pulau Pinang agar mengurangkan penggunaan air di rumah dengan segera. Ini adalah rayuan yang mendesak dan ia begitu relevan kepada pengguna air domestik di Air Itam, Paya Terubong dan semua kawasan perkhidmatan lain yang berdekatan Empangan Air Itam," katanya.