Angkara pak belang, 20 ekor lembu lesap sebulan

Iklan
Mohd Hazwan akui kehadiran harimau itu mengancam ternakannya apabila sebahagian besar tidak mahu lagi kembali ke kandang dan hanya berkeliaran di kawasan perkampungan orang asli berhampiran.

SUNGAI SIPUT - Sekurang-kurangnya 20 ekor lembu mati dipercayai dibaham harimau sejak kehadiran haiwan liar itu dikesan berada di sekitar kawasan Bukit Berekeh dan Lasah dekat sini sebulan lalu.

Mohd Hazwan Ramli, 35, yang mengusahakan ternakan lembu di Ladang Perlop 3, Lasah berkata, kejadian itu disedari dengan penemuan bangkai dan tulang lembu serta tapak kaki harimau di kawasan sekitar kawasan kandang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian terbaru kematian seekor anak lembu dengan bangkainya dijumpai sekitar jam 8.30 pagi pada Ahad.

"Sejak sebulan lepas, hampir setiap hari ada saja lembu peliharaan saya yang hilang sampai sekarang 20 ekor semuanya. Apabila dicari yang jumpa hanya tulang dan bangkai.

Iklan

"Semalam (Ahad), haiwan sama cuba tangkap seekor lembu betina tetapi tidak berjaya. Lembu itu cedera dengan kesan gigitan di kaki.

"Saya memang dah syak kehilangan semua ternakan saya ini angkara harimau kerana nampak beberapa kesan tapak kaki haiwan liar terbabit di sekitar kawasan ini," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Iklan

Mohd Hazwan berkata, ini kejadian pertama pernah dialami sejak mengusahakan ternakan lembu termasuk kerbau dan kambing 15 tahun lalu.

Katanya, kehadiran harimau itu mengancam ternakannya apabila sebahagian besar tidak mahu lagi kembali ke kandang dan hanya berkeliaran di kawasan perkampungan orang asli berhampiran.

"Laporan sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak dan dimaklumkan mereka akan pasang perangkap.

"Saya harap usaha ini berhasil kerana kami bimbang keselamatan dan berasa terancam selagi harimau itu tidak ditangkap," katanya.

Pada 5 Mei lepas, Sinar Harian melaporkan Jabatan Perhilitan Perak mengesahkan kehadiran harimau belang di Bukit Berekeh.

Beberapa keping gambar kesan tapak kaki harimau belang yang ditemukan kumpulan pendaki sekitar jam 4 pagi juga tular di media sosial.