Projek naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang mampu kurangkan kesesakan

Iklan
Alexander Nanta Linggi ketika melakukan tinjauan projek naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang pada Isnin. - Foto Bernama

PASIR GUDANG - Dua projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17), di sini, yang turut melibatkan pelebaran jalan, dijangka dapat mengurangkan kesesakan di laluan itu pada masa hadapan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, kedua-dua projek yang telah diluluskan melibatkan peruntukan RM5.2 juta itu, akan dilaksanakan secara berfasa iaitu Fasa 2B dan Fasa 3 merangkumi pelebaran laluan daripada empat lorong kepada enam lorong.

Iklan
Iklan

Nanta berkata, Fasa 2B melibatkan laluan dari persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke persimpangan Pasir Gudang, kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2025 manakala Fasa 3 iaitu dari persimpangan bertingkat Perling hingga ke susur naik Lebuhraya Utara Selatan pula dijangka bermula Ogos tahun ini.

Tambahnya, kerja-kerja menaik taraf bagi dua projek itu melibatkan pelebaran jalan sepanjang 12.5 kilometer termasuk membaik pulih dan menaik taraf struktur jejambat, jambatan dan jejantas sedia ada, serta merupakan kesinambungan daripada projek menaik taraf Fasa 1 yang telah siap pada 2016 dan Fasa 2A yang siap pada 2018.

Iklan

Kira-kira 95,000 kenderaan difahamkan menggunakan lebuh raya itu setiap hari.

"Untuk negeri Johor ini, Kerajaan Persekutuan mengagihkan RM107 juta untuk untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan untuk tahun ini dan daripada itu, RM5 juta lebih dibelanjakan untuk menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang,” kata Ahli Parlimen Kapit itu.

Iklan

Ketika ditanya sama ada kementerian akan melihat kepada peruntukan tambahan bagi Johor memandangkan negeri itu dilanda banjir sebanyak dua kali tahun ini, Nanta berkata pihaknya akan mendengar keperluan selebihnya daripada kerajaan negeri berhubung isu itu.

Pada 20 Mac lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM168 juta menerusi Jabatan Kerja Raya bagi membaiki kerosakan jalan dan infrastruktur awam akibat banjir. - Bernama