KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke tayangan perdana filem biopik, Anwar: The Untold Story di Pavilion di sini
Tayangan perdana filem yang memaparkan liku perjuangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dihadiri tetamu kehormat termasuk menteri, penggiat industri kreatif, selebriti tanah air serta wakil media dari luar negara.
Filem arahan sutradara Indonesia, Viva Westi ini menampilkan pelakon, Farid Kamil Zahari yang menggalas watak sebagai Bapa Reformasi itu manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Wan Azizah.
Berlatarkan tempoh masa antara tahun 1993 dan 1998, filem biopik itu merungkai perjalanan hidup Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Diterbitkan Yusrych Global bersama Zukiflee Anwar Haque sebagai penerbit eksekutif, naskhah ini juga mengangkat perjuangan figura itu menentang gejala rasuah.
Filem berkenaan yang diusahakan pembikinannya sejak 2011 bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 18 Mei ini.