Harimau Muda pulang awal

Iklan
Aksi Harimau Muda ketika berdepan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan B Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Prince sebentar tadi. - Foto FB FAM

SKUAD bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara terpaksa melupakan hasrat meraih pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 selepas tewas 1-2 kepada Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Prince, Phnom Penh sebentar tadi.

Tampil dengan misi mencipta kejutan ke atas penyandang juara itu, Harimau Muda tersentak awal apabila gawang mereka dibolosi seawal minit ketujuh.

Iklan
Iklan

Gol pembukaan Vietnam itu berpunca menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan tonggak pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar.

Nguyen Van Tung menyempurnakan sepakan penalti itu sebelum dia sekali lagi berjaya merobek gawang Harimau Muda pada minit ke- 34.

Iklan

Skuad kendalian E Elavarasan yang turun dengan misi wajib menang berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Aiman Afif Md Afizul.

Aimam Afif berjaya meledak gol selepas penjaga gol Vietnam, Quan Van Chuan gagal menangkap kemas bola sepakan percuma Alif Izwan Yuslan ketika aksi babak pertama berbaki dua minit.

Iklan

Namun, malang menimpa mereka apabila terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Safwan Mazlan dilayangkan kad merah pada minit ke-79 sebelum nasib sama menimpa Najmudin Akmal Kamal Akmal berselang tiga minit kemudian.

Insiden itu bagaikan menutup terus peluang Harimau Muda untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata seterusnya menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas mereka tewas 0-2 kepada Thailand pada Sabtu lalu.

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Muda kekal di kedudukan ketiga dengan mengumpul tiga mata dan akan melengkapkan aksi terakhir kumpulan berdepan Singapura di venue sama pada Khamis ini.