Jangan usik lagi caruman KWSP

Iklan
Kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KERAJAAN tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, walaupun tidak popular namun keputusan itu terpaksa dibuat demi masa depan pencarum.

Iklan
Iklan

Pengeluaran KWSP juga bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah rakyat. Langkah itu bakal memberi implikasi besar kepada pesara yang berkemungkinan tidak mempunyai wang simpanan mencukupi pada masa akan datang.

Untuk meredakan masalah tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat, kerajaan perlu fikirkan kaedah dan cara lain yang lebih efektif, relevan dan sewajarnya.

Iklan

Kita perlu menerima hakikat bahawa KWSP ditubuhkan di bawah satu akta yang diluluskan Parlimen demi menjaga kepentingan para pencarum KWSP selepas bersara.

Jika dibenarkan pengeluarannya, KWSP bukan sahaja lari daripada matlamat penubuhannya, malah tindakan itu boleh mengancam kehidupan pencarum selepas persaraan.

Iklan

Pada masa yang sama, sekiranya pencarum mengeluarkan simpanan akan menyebabkan mereka kehilangan dividen dan kesannya simpanan mereka akan semakin berkurangan.

Sebelum ini dilaporkan paras simpanan ideal bagi pencarum KWSP untuk bersara dengan selesa di bandar-bandar utama ialah RM600,000 bagi membiayai kehidupan selepas bersara.

Namun, laporan KWSP menunjukkan kira-kira 97 peratus pencarum berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mencapai sasaran itu di kawasan urban tersebut.

Kita tidak mahu kejadian rakyat Malaysia terpaksa duduk di bawah jambatan atau tiada tempat tinggal selepas bersara kerana simpanan yang sepatutnya digunakan untuk hari tua telah habis dikeluarkan ketika muda.

Wang penting selepas bersara supaya kita dapat meneruskan kehidupan seharian tanpa mengharapkan bantuan serta menyusahkan orang sekeliling.

Sekarang ini mungkin kita masih sihat dan masih boleh bekerja, tetapi bagaimana pada 20 tahun akan datang? Nak salahkan siapa kalau simpanan yang ada habis dibelanja.

Oleh itu, penting supaya kita memiliki sumber kewangan yang benar-benar kukuh bagi menampung kehidupan kita selepas bersara.