Mahu seronok sanggup gadai nyawa seludup syabu

Iklan
Yaya bersama ahli keluarganya bertemu dalam majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Penjara Wanita Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Walaupun dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, namun banduan akhir dikenali sebagai Yaya tidak pernah putus harapan merayu supaya hukumannya dapat diringankan.

Dia yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Wanita Kota Kinabalu di sini sejak empat tahun lalu masih melakukan proses rayuan bagi meringankan hukuman atas kesalahan menyeludup lima kilogram dadah jenis syabu pada 2019.

Iklan
Iklan

Yaya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 berkata, disebabkan mahu berseronok dia sanggup menggadaikan nyawanya dengan menyeludup syabu ke negeri ini.

"Saya dimasukkan ke sini pada 14 Mac 2019 selepas ditahan menyeludup dadah di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA).

Iklan

"Ketika itu saya tahu barang yang saya bawa adalah syabu yang cuba diseludup dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

"Saya ditahan sebaik tiba di KKIA dan kini dijatuhkan hukuman sebagai banduan akhir di penjara ini," katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kapayan di sini baru-baru ini.

Iklan

Yaya yang sebelum ini bekerja sebagai pereka grafik menyesal dengan apa yang telah dilakukannya dan terpaksa menjalani hukuman atas kesalahan yang dibuat.

"Tetapi saya bersyukur kerana di sini saya belajar banyak perkara terutama mengenai ilmu agama. Dulu ketika di luar, saya jarang solat dan kurang mendalami ilmu agama.

"Tetapi di sini Alhamdulillah, saya turut mengimamkan solat jemaah bersama penghuni lain. Malah, saya juga belajar mengaji dan menghafaz al-Quran," katanya.

Yaya sebelum itu turut diberi peluang bertemu dengan ahli keluarganya pada Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri yang diadakan baru-baru ini dan sempat meluangkan masa selama kira-kira dua jam bagi meraikan Syawal di penjara berkenaan.

"Majlis kali ini, ibu dan adik datang bertemu dengan saya untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama.

"Bagi saya ini adalah masa yang ditunggu-tunggu untuk bertemu ahli keluarga yang dirindui. Kalau boleh saya mahu ikut mereka pulang, tetapi tak boleh," katanya.