SHAH ALAM - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) mengesahkan menerima 108,284 permohonan bagi pembiayaan peribadi patuh syariah Ihsan-i melalui program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 8 Mei.
MBSB Bank dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu, permohonan yang layak adalah sebanyak 49,130 dengan 27,202 permohonan telah diluluskan melibatkan nilai keseluruhan pembiayaan berjumlah RM561 juta.
"Keseluruhan proses Ihsan-i daripada peringkat permohonan ke peringkat pengeluaran pembiayaan telah dilakukan sepenuhnya secara dalam talian tanpa perlunya pemohon hadir ke cawangan MBSB Bank.
"Pemprosesan permohonan ini masih giat dijalankan oleh MBSB Bank dalam usaha untuk memastikan pemohon dapat menerima maklum balas daripada pihak bank dengan kadar segera," kata kenyataan itu.
Menurut MBSB Bank, bagi permohonan Ihsan-i tidak berjaya, ia adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti pemohon berstatus muflis dan dan nisbah khidmat hutang pemohon yang tinggi.
Bagaimanapun MBSB Bank mengambil maklum bahawa terdapat pemohon berstatus muflis telah menerima kelulusan dan ini disebabkan oleh jumlah permohonan diterima adalah sangat tinggi dalam tempoh masa singkat dengan membawa kepada berlakunya keralatan sistem.
"Pemohon-pemohon tersebut pula telah membuat pengisytiharan yang mereka bukan muflis ketika membuat permohonan," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, MBSB Bank berkata, demi kepentingan para pemohon yang terbabit ini, pihaknya tidak akan mengenakan sebarang caj terhadap jumlah pembiayaan Ihsan-i yang telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan mereka.
"Status Akaun 2 KWSP mereka juga tidak akan terjejas," kata kenyataan itu.