Peserta IPR bebas kemiskinan dalam tempoh dua tahun - Rafizi

Iklan
Rafizi ketika melancarkan mesin layan diri IPR di lobi Stesen KL Sentral pada Selasa. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH (Gambar kecil: Rafizi)

KUALA LUMPUR - Kalangan peserta program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi model Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dijangka berupaya bebas daripada kemiskinan dalam tempoh dua tahun, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Ini berikutan program tersebut membolehkan peserta menjana pendapatan, sekali gus membolehkan mereka keluar daripada kancah kemiskinan tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, peserta IPR bagi model INSAN misalnya juga diharap dapat mencari model perniagaan lain termasuk membuka warung selepas menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

"Selepas mereka berjaya dan bergerak ke model perniagaan lain seperti gerai sendiri, maka peluang itu akan dibuka kepada penerima lain.

Iklan

"Atas alasan ini, kita berpendapat jika program ini dilaksanakan di seluruh negara, kita dapat wujudkan satu mekanisme bagi membantu miskin tegar dan B40 secara lebih mampan dan berterusan,” katanya ketika melancarkan mesin layan diri IPR di Stesen Sentral di sini pada Selasa.

Rafizi berkata, berbeza dengan program lain sebelum ini, aset-aset terbabit sebaliknya adalah milik kerajaan yang membolehkan ia memastikan penerima tidak hanya layak dari segi sosioekonomi namun benar-benar berminat untuk menaik taraf pendapatan mereka.

Iklan

Sebagai contoh, peserta hanya perlu menyediakan modal bagi kos makanan dan tidak akan dikenakan sebarang sewaan mesin dan elektrik.

"Kita bukan sahaja tidak mengenakan sewa, malah cas elektrik juga ditanggung oleh pemilik tapak atau rakan strategik...usahawan hanya mengeluarkan modal pusingan semata-mata.

"Ini juga dapat memastikan harga jualan lebih murah iaitu antara RM1 hingga RM5," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut menyasarkan kira-kira 100 buah mesin layan diri IPR yang dapat diperluas di lokasi tumpuan pengunjung seperti di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Lembah Klang serta universiti di seluruh negara.

Pada masa sama, pihaknya juga menyasarkan mesin tersebut dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah program INSAN secara menyeluruh, kata Rafizi.

Malah, sehingga kini, sebanyak 1,100 rakan strategik telah menyatakan hasrat mereka untuk menyediakan mesin IPR tersebut.

IPR yang merangkumi tiga model iaitu INSAN, INTAN dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN), dilancarkan pada 26 Feb, 2023 dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sejajar dengan kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan menyasarkan 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar dan golongan B40 yang menyertai IPR, berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bagi membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan. - Bernama