'Tak setuju SPRM diletak bawah EAIC'

Iklan
Gambar hiasan dan kenyataan media CSO Platform for Reform pada Selasa.

SHAH ALAM - CSO Platform for Reform tidak bersetuju dengan niat kerajaan untuk menempatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bawah tanggungjawab Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kerana tindakan itu dilihat bertentangan dengan semangat reformasi institusi.

Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform berkata, tindakan itu jelas bertentangan dengan kebebasan dan ketelusan SPRM yang diperlukan untuk menjalankan tugas-tugasnya dengan baik.

Iklan
Iklan

"Kami berasa sangat bimbang kerana skop kuasa EAIC adalah tidak jelas sejak penubuhannya. Tambahan pula, kebebasan EAIC itu sendiri telah menimbulkan pelbagai perdebatan kerana pelantikan Ketua Pesuruhjayanya sendiri adalah dibuat oleh Perdana Menteri.

"Oleh yang demikian, ini telah menimbulkan pertanyaan sama ada EAIC bebas daripada sebarang pengaruh politik," kata mereka menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

EAIC pada 2 Mei lalu dilaporkan sedang mengkaji keperluan memasukkan SPRM sebagai agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat pertama EAIC, selain meneliti cadangan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk mengukuhkan EAIC.

Iklan

Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform menegaskan, memandangkan SPRM merupakan badan tertinggi dalam mengawasi aktiviti anti-rasuah di Malaysia, adalah perlu untuk memastikan bahawa badan tersebut dapat menjalankan tugasnya tanpa sebarang campur tangan politik.

"Apatah lagi apabila kita melihat kepada kuasa yang dimiliki oleh SPRM. SPRM merupakan agensi yang mempunyai kuasa pendakwaan dan kuasa sebesar ini tidak diperolehi oleh mana-mana agensi lain di bawah bidang kuasa EAIC.

Sebaliknya, menurut mereka, Azalina sepatutnya mempertimbangkan untuk menempatkan SPRM di bawah tanggungjawab Parlimen Malaysia untuk tujuan akauntabiliti dan ketelusan.

Mereka mendakwa percaya bahawa aspirasi berkenaan selari dengan pendirian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan ketelusan dan kebebasan SPRM.

"Semasa sidang Parlimen yang lepas, Perdana Menteri telah menyatakan keinginan kerajaan mempertimbangkan untuk melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM di bawah Parlimen untuk memastikan ketelusan dan kemandirian.

"Kami menyeru kepada Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan prinsip reformasi dengan melupakan cadangan ini sebaliknya memberi tumpuan kepada memajukan agenda reformasi Suruhanjaya SPRM," kata mereka.

CSO Platform for Reform merupakan sebuah gabungan 60 pertubuhan masyarakat sivil yang berpusat di Malaysia dan memberi tumpuan kepada pembaharuan institusi.

ARTIKEL BERKAITAN: Jawatankuasa Pro-Tem kaji keperluan SPRM bawah seliaan EAIC