GEORGETOWN -"Tidak terlintas di fikiran saya untuk diberikan tanggungjawab ini," kata Datuk A Rajendran, 60, yang dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) keempat bagi menggantikan Datuk Yew Tung Seang yang bersara wajib pada 5 Mei lalu.
Beliau yang memulakan tugas pada 1986 telah berkhidmat selama 37 tahun di Jabatan Kejuruteraan MBPP sebelum dilantik menjadi Setiausaha MBPP pada 2022.
Rajendran berkata, beliau akan memfokuskan beberapa isu penting di Pulau Pinang antaranya isu kebersihan dan kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, MBPP sedang melaksanakan perancangan dan langkah-langkah penambahbaikan selain pendidikan serta tindakan penguatkuasaan akan diteruskan.
"Untuk menangani masalah kebersihan dan pemungutan sampah, MBPP telah memperkenalkan cara-cara yang lebih sistematik yang akan ditambahbaik melalui penggunaan teknologi terkini. Pasukan khas juga telah diadakan untuk mengambil tindakan segera ke atas sebarang aduan yang diterima dan member perkhidmatan sokongan sekiranya diperlukan.
"Seiring dengan itu, Majlis telah memperkukuhkan tenaga kerja dengan melantik 150 pekerja pembersihan pada tahun 2023 dan tindakan sedang diambil untuk menambah 10 kenderaan 'compactor' unit.
"Selain itu, bagi mengurangkan kuantiti sisa pepejal yang dilupuskan, pengitaran semula melalui Projek Waste to Energy akan dijalankan pada tahun 2024 yang mana kadar kitar semula di bahagian pulau dijangka dapat menjangkaui 60 peratus," katanya dalam ucapannya pada Selasa.
Rajendran menyampaikan ucapannya dalam Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Datuk Bandar MBPP 2023 di Dewan Bandaraya dekat sini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.
Tambah Rajendran, dari segi lalulintas, pelan-pelan menaiktaraf jalan dan pembinaan infrastruktur jalan yang penting akan diteruskan.
"Pada masa sama, saya akan beri tumpuan kepada penggunaan pengangkutan awam dan pengangkutan alternatif. Selain itu, initiatif-initiatif untuk menggalakkan lebih ramai orang berjalan kaki untuk perjalanan dekat akan dilaksanakan.
"Ruang jalan juga semakin terhad dengan pertambahan kenderaan dan pejalan kaki terutama sekali di kawasan pusat bandar di mana jalan-jalan tidak dapat dilebarkan lagi. Keadaan kesesakan bukan hanya tertumpu pada waktu puncak lalulintas malah menjadi lebih meruncing pada musim cuti dan hujung minggu.
"Oleh demikian, penggunaan ruang jalan perlu dioptimakan mengikut keutamaan dan secara saksama melalui perancangan yang lebih menyeluruh serta diperhalusi melalui proses libat urus dengan orang ramai," katanya.
Jelas beliau, Visi Penang 2030 yang dilhamkan Kon Yeow akan terus menjadi tunjang, dihayati dan dijadikan panduan kepada penetapan halatuju MBPP ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
"Penerapan Matlamat Pembangunan Mampan menjadi intipati kepada pencapaian Visi Penang2030 dan pelaksanaan projek, program dan perkhidmatan MBPP.
"MBPP menyahut seruan pelaksanaan initiatif-initiatif 'place making', pembangunan komuniti dan penglibatan industri yang digariskan dalam Penang2030 dengan memberi perhatian kepada tahap Indeks Kebahagiaan Negeri Pulau Pinang yang berada pada peratusan 76.5 peratus mengikut kajian pada tahun 2021 dan mengatasi indeks purata negara," tambahnya.