KUALA KANGSAR - Usaha menumbangkan kerajaan bukan keutamaan pembangkang ketika ini, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi.
Beliau berkata, sebaliknya tumpuan kini adalah membantu meringankan beban rakyat.
Menurutnya, sebarang proses menubuhkan kerajaan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan harus berjalan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
"Perkara yang jauh lebih penting saya sentiasa tekankan ialah bukan itu (tukar kerajaan). Fokus tumpuan oleh semua ahli politik sama ada penyokong kerajaan atau di sebelah pembangkang adalah kepentingan rakyat.
"Kalau pun kita bertukar Perdana Menteri, tukar kerajaan 80 kali dalam sepenggal pun, kalau kepentingan rakyat tidak diberi keutamaan tidak ada maknanya. Jadi itu lebih penting daripada nafsu-nafsi pemimpin nak kekal kuasa ataupun mengejar kekuasaan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Negeri Perak anjuran Bersama Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini pada Selasa.
Pada 6 Mei lalu, pembangkang dilaporkan menolak anggapan bahawa ia 'mengigau' memiliki SD sokongan ahli Parlimen untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengigau kerana khuatir jawatannya diambil alih.
Malah, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook turut menyifatkan dakwaan pembangkang memiliki 126 akuan bersumpah (SD) sokongan Ahli Parlimen sebagai tindakan terdesak dan permainan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, pihaknya kesal sehingga kini ahli-ahli Parlimen pembangkang masih belum mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk membantu rakyat.
"Sewaktu kami dalam kerajaan dulu pun sentiasa saya katakan apabila tiba masanya kita perlu berhenti berpolitik dan menitikberatkan rakyat, itu yang penting perlu kita lakukan.
"Tapi hari ini saya bimbang kerana terlalu kita nak berpolitik sehingga mengakibatkan rakyat yang memerlukan bantuan tak dapat kita beri bantuan secukupnya," katanya lagi.