Tekanan air rendah, api lambat padam

Iklan
Mohd Zulkifli (kanan) melihat kesan kebakaran kedai runcit di Tanah Merah. (Gambar kecil: Eufiza)

TANAH MERAH -"Saya difahamkan tekanan air rendah, jadi api lambat padam.”

Itu kata seorang peniaga, Ramlee Jelani, 70, yang kerugian lebih RM60,000 apabila kesemua barangan dan kelengkapan di kedai runcitnya hangus dalam kebakaran melibatkan dua premis di Kampung Banggol, Jalan Lubok di sini pada awal pagi Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian itu diketahuinya pada jam 6.20 pagi selepas menerima gambar yang dikirimkan dalam kumpulan WhatsApp semasa berada di rumah di Rantau Panjang.

"Masa tu, api masih lagi kecil menyala di bahagian bumbung depan kedai dan bomba pula sudah pun tiba untuk memadamkan kebakaran.

Iklan

"Saya sangkakan tidak melarat lebih teruk namun apabila sampai di kedai pada jam 8 pagi tadi mendapati semuanya sudah musnah dan tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi tersebut.

Ramlee yang sudah enam tahun berniaga di tempat itu berasa amat kecewa kerana mengalami kerugian amat besar.

Iklan
Ramlee menunjukkan roti yang dijual hangus dalam kebakaran pada Selasa.

"Semua tinggal jadi besi buruk, namun saya reda dengan ujian ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa iaitu pemilik kedai jahit langsir, Eufiza Che Pa, 44, berkata, ketika kejadian dia bersama empat anak berusia sembilan sehingga 15 tahun tidur di bahagian belakang kedai mereka yang terletak bersebelahan.

"Saya terjaga kerana terdengar bunyi bising. Saya sangkakan pencuri sebelum jiran mengetuk pintu menyuruh kami menyelamatkan diri lalu keluar dalam keadaan sehelai sepinggang.

Tambah Eufiza, tiga mesin jahitnya dianggarkan bernilai hampir RM20,000 musnah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zulkifli Osman berkata, pasukan operasi terpaksa mengambil air dari pili yang lebih jauh kira-kira sekilometer dari lokasi kejadian bagi mendapatkan air yang bertekanan tinggi selepas dua pili berhampiran didapati bertekanan rendah.

"Operasi membabitkan 12 anggota dan pegawai bersama satu jentera dari balai Tanah Merah.

"Kami juga mendapatkan bantuan satu jentera dari Kemahang dan satu lori tangki air dari Rantau Panjang,” katanya.

Sinar Harian dalam usaha mendapatkan maklum balas daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkait dakwaan itu.