PENGELUARAN getah asli Malaysia menurun 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 27,188 tan metrik pada Mac berbanding 27,209 tan metrik pada Februari 2023.
Pengeluaran, bagaimanapun meningkat 10.8 peratus tahun ke tahun berbanding 24,549 tan metrik pada Mac, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam laporan perangkaan getah bulanannya yang dikeluarkan hari ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, 88 peratus daripada pengeluaran Mac 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil manakala baki 12 peratus adalah daripada sektor estet.
Bagi suku pertama 2023, DOSM berkata, pengeluaran getah asli turun 7.2 peratus kepada 83,848 tan metrik daripada 90,399 tan metrik pada suku keempat 2022.
Setiap tahun, ia menyusut 17.0 peratus berbanding 101,045 tan metrik pada suku pertama 2022.
Jumlah stok getah asli meningkat 6.3 peratus kepada 203,372 tan metrik pada Mac 2023 berbanding 191,296 tan metrik pada Februari 2023.
"Kilang pemproses getah menyumbang 91.1 peratus stok akhir, diikuti oleh kilang pengguna getah (8.8 peratus) dan estet getah (0.1 peratus)," katanya.
Eksport getah asli turun 5.4 peratus kepada 45,789 tan metrik pada Mac 2023 berbanding 48,393 tan metrik pada Februari 2023, dengan prestasi itu disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
Mohd Uzir berkata, sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah bernilai RM1.2 bilion pada Mac 2023, meningkat 18.4 peratus berbanding RM900 juta pada Februari 2023.
DOSM berkata, China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, menyumbang 50.8 peratus daripada jumlah eksport pada Mac 2023, diikuti oleh Jerman (14.7 peratus), Turkiye (4.2 peratus), Pakistan (2.4 peratus) dan Mesir (1.7 peratus).
Harga purata bulanan untuk lateks pekat merekodkan penurunan 1.6 peratus pada Mac 2023 kepada 530.11 sen sekilogram berbanding 538.55 sen sekilogram pada Februari 2023 manakala sekerap jatuh 1.2 peratus kepada 468.68 sen sekilogram berbanding 474.52 sen sekilogram pada Februari 2023.
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 1.5 peratus hingga 1.7 peratus pada Mac 2023 berbanding bulan sebelumnya, katanya. - Bernama