[VIDEO] Ibu bimbang anak bongsu hilang lebih sebulan

Iklan
A.Laletha menunjukkan gambar Tava. Gambar kecil: Tava

JEMPOL - Seorang ibu bimbang akan keselamatan anak perempuannya, M.Tavanes Vary, 18, yang hilang sejak lebih sebulan lalu.

A.Laletha, 41, berkata, ketika kejadian pada 3 April lepas, Tavanes atau mesra dipanggil Tava bersama anak sulungnya berada di kedai bunga miliknya di Pekan Bahau, sementara dia keluar menghantar barang di kawasan berhampiran.

Iklan
Iklan

"Sebaik selesai urusan, anak sulung mengadu Tava hilang. Katanya sebelum itu, seorang individu meminta Tava meninjau keadaan anjing peliharaan kami di belakang bangunan namun dia (Tava) tidak kembali semula ke kedai.

"Anjing kami ada tetapi dia (Tava) tak ada. Laporan polis telah dibuat pada hari sama kerana bimbang akan keselamatannya.

Iklan

"Hari ini sudah sebulan tujuh hari dia hilang, tidak tenteram hidup kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita, di sini pada Selasa.

Katanya, dia sekeluarga tidak pernah berhenti mencari dan memikirkan nasib menimpa anak bongsu dari dua beradik itu.

Iklan
Laletha menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan Tava dan ugutan oleh individu tidak dikenali.

"Kami tidak pernah berhenti mencarinya, setiap butir nasi yang kami makan, setiap kali itulah air mata ini jatuh. Makan ke tidak Tava kami, sihatkah dia," katanya.

Ujar Laletha, dia kecewa apabila terdapat individu yang tidak dikenali mengambil kesempatan terhadap kesusahan yang mereka alami dengan meminta wang.

"Pada bulan sama saya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa mengetahui keberadaan anak saya, tetapi dengan syarat perlu membuat bayaran RM10,000, jika tidak anak saya tidak akan selamat.

"Lelaki berkenaan juga tidak menunjukkan bukti bahawa anak kami ada bersamanya dan mereka mahukan hanya duit. Tidak tahulah bagaimana hendak saya gambarkan perasaan ketika ini, anak hilang diasak pula dengan ugutan seperti itu," katanya.

Dalam pada itu, Laletha menjelaskan, kehilangan anaknya itu bukanlah pertama berlaku sebaliknya Tava pernah hilang pada 13 Mac lepas, namun ditemui di Kulai, Johor tiga hari kemudian apabila dieprcayai dibawa individu yang tidak dikenali.

Justeru, dia meminta bantuan orang ramai untuk mengesan anak gadisnya itu selepas pelbagai usaha telah dibuat menemui jalan buntu.

"Kali terkahir Tava memakai seluar pendek berwarna hitam kebiruan dan baju lengan panjang berwarna merah.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat atau menjumpainya boleh menghubungi saya di talian 012-6677250 atau 014-2228460 atau memaklumkan ke balai polis berdekatan," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, polis mengesahkan menerima laporan berkaitan orang hilang dan pemerasan yang dibuat keluarga berkenaan.