MENTERI Besar Datuk Seri Aminuddin Harun masih menaruh harapan supaya kelemahan dalam pasukan Negeri Sembilan pada saingan Liga Premier akan dapat diperbaiki segera.
Menurutnya, walaupun menduduki tangga keenam dalam saingan Liga Premier, namun skuad Rusa masih boleh memperbaiki kedudukannya jika segala kelemahan itu dapat diatasi jurulatih, Mohd Zan Mat Aris.
Iklan
Iklan
"Saya sudah berbincang dengan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri untuk melihat perkara ini.
"Selepas menduduki senarai tercorot pada Liga Super musim lepas, kita cuba membentuk sebuah pasukan yang lengkap pada tahun ini dan kita masih dalam proses pembaharuan tersebut.
"Oleh itu, tahun ini kita anggap adalah tahun pembaharuan dan kita tidak meletakkan apa-apa sasaran. Bagaimanapun, kalau kita mendapat satu piala tahun ini, itu adalah satu bonus," katanya di sini, hari ini.
Aminuddin berlata, selain prestasi pemain, beliau juga berpuas hati dengan pengurusan pasukan dan berharap pasukan itu akan dapat mempamerkan permainan lebih baik.
Pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi, Terengganu FC II (TFC II) menewaskan Negeri Sembilan 1-0. - Bernama