Wanita patah kaki, tujuh kenderaan rosak dirempuh pemandu sawan

Iklan
Anggota bomba mengeluarkan wanita yang diserang sawan ketika memandu di Pekan Nanas, Pontian pada Selasa.

PONTIAN - Seorang wanita yang tiba-tiba diserang sawan semasa memandu gagal mengawal keretanya sebelum merempuh tujuh kenderaan dan mengakibatkan seorang pejalan kaki patah kaki di Pekan Nanas di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7.10 pagi melibatkan lima motosikal dan dua kereta yang diletakkan di bahu jalan berhampiran dua kedai makan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, wanita berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios terselamat dan keretanya terbalik.

"Ketika kejadian, wanita berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum mengalami sawan dan hilang kawalan lalu melanggar seorang pejalan kaki yang dikenali sebagai Zahara serta kenderaan lain.

Iklan

"Zahara yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian leher dan dihantar ke Hospital Pontian," katanya dalam kenyataan.

Shofee berkata, ketika kejadian semua pemilik kereta dan motosikal terlibat sedang menikmati sarapan.

Iklan

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Asnawi Jumaat berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian dan operasi tersebut selesai kira-kira pada jam 8 pagi.