SEBERANG JAYA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan keperluan bahan mentah, sayuran dan kelapa mencukupi menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri nanti.
Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, pihaknya sudah pun membuat persediaan rapi bagi memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi permintaan tinggi pada musim perayaan.
Menurutnya, dalam tinjauan yang dilakukan di seluruh negara mendapati bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi walaupun sebelum ini berlaku masalah kekurangan cili disebabkan berada pada penghujung musim.
"Baru-baru ini terdapat sedikit masalah mengenai bekalan cili namun masalah itu dapat ditangani dan begitu juga dengan telur ayam yang kini sudah kembali pulih.
"Kita dapati bekalan ayam juga tidak mempunyai masalah dan harganya pun terkawal tidak lebih daripada RM10 sekilogram," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sempena Penang FAMA Fest 2019 yang diadakan di Tapak Ekspo, pagi tadi.
Ishak berkata, menjelang Ramadan dan Aidilfitri, kelapa antara mendapat permintaan tertinggi berikutan penggunaannya untuk membuat kuih dan aneka lauk.
Bagi memastikan bekalan mencukupi, pihaknya membawa masuk kelapa dari Pulau Papabak ke Semenanjung Malaysia untuk menambah bekalan.
Katanya, sebanyak 30 tan bekalan kelapa dibawa masuk ke semenanjung setiap bulan sejak tahun lalu.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ishak turut menyampaikan geran insentif karavan tani kepada usahawan ais krim dan dadih, Azhar Kasim berjumlah RM19,910 bagi menaik taraf trak perniagaannya.
Beliau berkata, industri sajian makanan menerusi food truck semakin mendapat tempat dalam kalangan usahawan di negara ini malah ia mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada mereka.
"Jika dahulu pendapatan mereka yang berniaga di pasar tani hanya sekitar RM6,000 sebulan namun selepas mereka menjalankan menerusi 'food truck', pendapatan mereka menjadi berlipat kali ganda malah ada yang mencapai RM25,000 sebulan," katanya.