Sasar pertingkat Kapasiti Tenaga Boleh Baharu kepada 70 peratus

Iklan
Rafizi ketika sidang media bersama Nik Nazmi mengenai Hala Tuju Pembangunan Strategik Tenaga Boleh Baharu dan Dasar Perdagangan Tenaga Boleh Baharu di Wisma Sumber Asli, hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik disasar untuk ditingkatkan kepada 70 peratus menjelang 2050 bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara serta menarik syarikat multinasional khususnya syarikat Renewable Energy 100 (RE100) untuk beroperasi di negara ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mesyuarat jemaah menteri pada 3 Mei lepas bersetuju untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 70 peratus menjelang 2050 di bawah Hala Tuju Pembangunan Strategik TBB selepas meneliti memorandum mengenai Hala Tuju Pembangunan dan Dasar Perdagangan TBB yang dibentangkannya.

Iklan
Iklan

Dalam sidang media bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, di sini, hari ini, Rafizi berkata, setakat Disember 2022, jumlah kapasiti terpasang TBB dalam pembekalan elektrik negara adalah sebanyak 25 peratus.

Beliau berkata, peningkatan kapasiti TBB itu akan membolehkan lebihan kapasiti yang dijana didagangkan merentas sempadan dengan negara jiran di rantau ini menerusi mekanisme yang akan dibangunkan dan ditetapkan kerajaan melalui sistem pasaran tenaga elektrik rentas sempadan dibawah Dasar Perdagangan TBB.

Iklan

"Kewujudan sistem pasaran tenaga elektrik untuk melaksanakan perdagangan TBB rentas sempadan akan meletakkan Malaysia di depan sebagai pusat TBB serantau," katanya.

Rafizi berkata, penetapan sasaran baru kapasiti TBB dan campuran tenaga yang meningkatkan peralihan kepada TBB sebanyak 11 kali ganda dari tahun 2023 ke 2050 akan meredakan kos elektrik rakyat dalam tempoh masa jangka panjang apabila penjanaan tenaga elektrik beralih kepada TBB.

Iklan

Menurutnya, kabinet juga bersetuju supaya pemasangan sistem solar di bangunan kerajaan dipercepat dan dipertingkat melalui penyediaan peruntukan pembangunan bagi memberi manfaat secara terus dari segi penjimatan bil elektrik kepada kementerian dan agensi kerajaan.

"Sejumlah RM50 juta diperuntukkan segera untuk memasang infrastruktur solar di bumbung dan kemudahan kerajaan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan sebelum akhir tahun ini, sementara peruntukan yang lebih besar akan diberikan bagi tujuan ini dalam perbelanjaan pembangunan yang akan datang," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, usaha untuk meningkatkan kapasiti TBB dijangka memerlukan pelaburan baharu yang dianggarkan berjumlah RM637 bilion sehingga tahun 2050.

Ia merangkumi pelaburan dalam sumber penjanaan TBB serta pengukuhan infrastruktur grid termasuk sambung tara, integrasi sistem penstoran tenaga dan kos operasi sistem rangkaian grid, katanya. - Bernama