ALOR SETAR - Sistem Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang dipraktiskan di institut pengajian tinggi (IPT) boleh diamalkan di peringkat sekolah bagi membantu usaha melahirkan murid atau pelajar cemerlang.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, segala pencapaian atau skor daripada Tahun Empat hingga Tahun Enam akan dikira secara kumulatif pada penghujung Tahun Enam melalui kaedah itu.
Menurutnya, keputusan tersebut boleh dijadikan sebagai kriteria pemilihan pelajar ke sekolah-sekolah berprestij tinggi seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Tentera Diraja (RMC) dan sebagainya.
"Begitu juga dengan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga kerana kaedah ini akan membuatkan pelajar sentiasa bersiap sedia dan berusaha secara konsisten. Masalah keciciran dan ponteng pun dapat dikurangkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, peperiksaan bukan hanya menilai kepada pembelajaran tetapi mempromosikan pembelajaran dengan beberapa cara termasuk mengatur diri untuk belajar.
"Malah, peperiksaan juga mempromosikan disiplin diri dan metakognisi iaitu pemahaman serta kawalan proses pembelajaran. Peperiksaan dapat menyuburkan minda kreatif dan inovatif," ujarnya.
Tambah Zainol Abidin, menerusi kaedah penilaian berterusan sepanjang tahun sebagai contoh, maka seluruh aktiviti pelajar dalam dan luar bilik darjah boleh diolah supaya proses pembelajaran dapat dijalankan secara lebih bersahaja, holistik dan menyeronokkan.
Pada 7 Mei lalu sebuah akhbar tempatan melaporkan, kualiti para pelajar SBP dan MRSM ketika ini dipertikai kerana didakwa tidak dinilai berdasarkan kebolehan akademik.
Ini kerana mereka tidak diuji menerusi sistem peperiksaan utama yang boleh dipercayai seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk ke Tingkatan Satu dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk ke Tingkatan Empat dengan kemasukan mereka ke sekolah khusus itu hanya bergantung sepenuhnya kepada ujian kemasukan.