BANGKOK - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dalam satu ciapan berkata beliau memutuskan untuk kembali ke Thailand Julai ini dan akan mengikut proses undang-undang.
Mesej itu dimuatnaiknya di Twitter beberapa hari menjelang pilihan raya 14 Mei ini, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).
Beliau akan kembali ke tanah air sebelum hari lahirnya pada Julai tahun ini untuk membesarkan cucu-cucunya.
Dalam ciapan itu, Thaksin meminta kebenaran untuk kembali ke Thailand kerana menurutnya telah berjauhan dengan keluarga hampir 17 tahun dan beliau kini sudah tua.
Dalam ciapan berasingan, bekas Perdana Menteri Thailand itu berkata beliau tidak akan menjadi beban kepada Parti Pheu Thai dan kepulangannya akan mengikut proses undang-undang. Ia adalah keputusannya sendiri.
Thaksin dilahirkan pada 26 Julai 1949. Beliau akan berusia 74 tahun pada hari lahirnya tahun ini.
Thaksin dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada 2001 dan digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 selepas dituduh terbabit dalam rasuah dan tidak menghormati sistem beraja negara itu.
Pada 1 Mei, Thaksin menyatakan beliau gembira kerana mempunyai cucu ke-7 yang dilahirkan oleh anak perempuannya Paetongtarn, dan mahu pulang ke Thailand untuk menjaga cucu-cucunya.
Anak perempuan bongsu Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, yang melahirkan bayi lelaki awal bulan ini, merupakan calon perdana menteri Parti Pheu Thai yang mendahului barisan calon dalam tinjauan pilihan raya. - Bernama