Ziyad pertahan gangsa, bakar semangat rampas kembali emas

Iklan
Mohd Ziyad bersama Jalur Gemilang selepas berjaya meraih pingat gangsa dalam acara akhir lontar peluru pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo hari ini. - Foto Bernama

KEJAYAAN mempertahankan pingat gangsa dimenangi pada Sukan SEA 2023 benar-benar membakar semangat jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk merampas emas lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.

Muhammad Ziyad juga bangga bahawa beliau dapat mengekalkan prestasi untuk duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan atlet normal lain pada penampilan keempat berturut-turut Sukan SEA semenjak edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Dapat bertanding kali keempat ketika berusia 33 tahun di Sukan SEA merupakan satu motivasi melakar nama di Sukan Paralimpik 2024.

"Saya mahu buktikan pingat yang saya patut menang dapat dibawa pulang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas saingan hari ketiga olahraga Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, beliau melakukan lontaran sejauh 17.30 meter (m) pada percubaan ketiganya untuk memperoleh gangsa manakala wakil Thailand, Jakkapat Noisri muncul pemenang dengan 17.84m dan perak pula dimiliki Thanh Binh Phan dari Vietnam (17.39m).

Rakan sepasukannya, Jonah Chang Rigan pula menduduki tempat keempat dengan catatan 16.67m.

Iklan

Mengulas aksinya hari ini, Muhammad Ziyad mengakui kesilapan teknik digunakan memakan dirinya sendiri sekali gus menggagalkan misinya untuk cuba memperbaiki pencapaian dilakar pada edisi 2021.

Pada Sukan Paralimpik 2020, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94m yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan berprestij di Jepun itu.

Beliau diklasifikasikan sebagai DNS susulan bantahan oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Berikutan itu, atlet Ukraine Maksym Koval diumum pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London. - Bernama